Sayur naik hingga RM3 di Alor Setar, RM5 di Terengganu, RM4 di Kelantan

BEKALAN tidak mencukupi, selain kenaikan harga pada peringkat pemborong antara punca harga pelbagai jenis sayur di beberapa negeri meningkat mendadak.

Tinjauan di Pasar Besar Alor Setar, Kedah, mendapati peningkatan paling tinggi membabitkan terung panjang yang dijual pada harga RM10.50 sekilogram berbanding hanya RM7 ketika Ramadan lalu selain terung bulat yang kini dijual RM12 sekilogram.

Seorang peniaga, Mawardi Taha, 51 berkata sayuran lain turut mengalami kenaikan harga adalah kacang panjang yang kini dijual RM10 sekilogram berbanding RM7 pada bulan lalu manakala harga cili padi naik sehingga RM13 berbanding RM10.

“Kami tiada pilihan (selain menaikkan harga) kerana pemborong mula menaikkan harga antara RM2 hingga RM3 bagi setiap jenis sayur.

“Ada pembeli marah tapi kami sendiri tidak untung banyak dalam keadaan begini.Hanya harga sayur seperti bendi dan sawi tidak banyak berubah,”katanya.

Di Terengganu, tinjauan di Pasar Bukit Besar mendapati harga salad meningkat paling tinggi daripada RM5 sekilogram kepada RM18 sekilogram, manakala bendi, terung, sawi manis, cili merah, kubis bunga dan kacang buncis mengalami kenaikan minimum RM3 berbanding harga asal.

Bagaimanapun harga kacang panjang menurun  daripada RM22 sekilogram kepada RM15 sekilogram.

Peniaga, Siti Farhana Hassan 23, berkata harga sayur-sayuran naik beberapa minggu lalu berikutan kurang bekalan khususnya selepas Aidilfitri.

“Harga ini tak menentu ada masa naik ada masa turun bergantung bekalan yang ada. Harga pula berbeza setiap hari dengan kenaikan dikatakan disebabkan kekurangan bekalan.

“Sebagai contoh harga salad memang agak tinggi kebelakangan ini apabila meningkat RM15 hingga  RM18 sekilogram berbanding RM5 sekilogram,” katanya.

Di Kota Bharu, Kelantan, peniaga sayur, Roslina Ismail, 44, mengakui kenaikan berlaku apabila beberapa jenis sayur dibeli daripada peraih dan pemborong meningkat sekali ganda.

“Dia yang sudah tujuh tahun berniaga di Pasar Siti Khatijah mengakui ,tidak sampai hati menaikkan harga runcit sayur, sebaliknya memilih menjual pada harga sama tetapi kuantiti seikat sayur dikurangkan.

“Memang ada peningkatan ketara harga sayur , contohnya kacang panjang sebelum ini saya beli sekitar RM5 hingga RM6 seikat besar daripada pemborong tapi kini mencecah RM10.

“Begitu juga terung yang sudah tidak boleh dujual RM5 sekilogram sebalikny RM8 hingga RM10 kerana kami membeli pada harga tinggi daripada peraih atau pemborong.

“Harga sawi pula antara RM10 hingga RM12 satu plastik, tetapi sekarang mencecah RM25.

“Memang banyak rungutan diterima tetapi kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana harga daripada pemborong sudah mahal,” katanya.