MAHKAMAH Sesyen Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas didapati bersalah menggunakan resit palsu sebagai tulen dua tahun lalu.
Mohamad Helmi Ahmad Cabi mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara sebulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda, lapor Harian Metro.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Unit Institut Memandu Bahagian Perlesenan JPJ Perak, didakwa dengan curang telah menggunakan dokumen palsu untuk Resit Rasmi Kerajaan Malaysia JPJ Malaysia, berjumlah RM2,000 bagi perkara Buku Teks KPP baru Kelas Motosikal (B.M).
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat JPJ Ipoh, 17 Februari 2020.
Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.