POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung insiden membabitkan penunggang motosikal yang menganggu jalan raya di Jalan Temiang-Pantai, Seremban.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada Ahad di mana terdapat sekumpulan penunggang motosikal yang berhenti dan meletakkan kenderaan di dalam laluan kecemasan.
“Pada masa yang sama, rakaman video dari kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan seorang individu seakan-akan cuba membaling sesuatu objek ke arah kenderaan perakam.
Daripada itu, satu siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pesalah terlibat. Kes disiasat di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan halangan di atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan, pagi Isnin.
Nanda juga menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kes berkanaan untuk menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes di talian 016-2895801.
“Pihak polis sentiasa memantau dan melakukan penguatkuasaan di lokasi-lokasi tumpuan terutama di Jalan Temiang-Pantai bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran undang-undang berlaku.
“Polis juga mengingatkan kepada semua pihak untuk lebih bertanggungjawab dan memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.
Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi 11 saat memaparkan seorang pemandu kenderaan membunyikan hon ke arah seorang pemandu motosikal kerana menghalang jalan.
Penunggang itu bertindak dengan mencuba untuk membaling sesuatu objek namun berjaya dielak oleh pemandu itu.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.