NAMA Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris antara yang disebut-sebut sebagai calon BERSATU yang bakal menggantikan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai anggota Jemaah Menteri.
Menurut laporan Berita Harian, Razali, yang juga bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu (KETENGAH) dicadangkan kepada pengerusi BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan sebagai calon anggota baharu Kabinet.
Sumber Ibu Pejabat BERSATU Terengganu berkata jawatankuasa pimpinan parti di peringkat negeri, termasuk yang berada di peringkat sayap bersetuju sebulat suara mengemukakan nama Razali yang juga mesra dengan panggilan Tok Li sebagai calon menteri.
“Tiada seorang pun pemimpin BERSATU negeri menjadi menteri sekarang. Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid hanya timbalan menteri. Kita berpendapat, sudah tiba masanya pimpinan BERSATU negeri diangkat untuk menjawat jawatan menteri penuh,” katanya pada Jumaat.
Khabar angin Razali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMT) BERSATU sebagai calon menteri bertiup kencang susulan tindakan Zuraida yang juga memegang jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk keluar parti berkenaan bagi menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), Khamis lalu.
Sebelum ini, Muhyiddin berkata, BERSATU akan mengemukakan nama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dilantik sebagai anggota kabinet bagi menggantikan Ahli Parlimen Ampang berikutan kekosongan itu adalah dalam kuota BERSATU.
“Kita serahkan kepada pertimbangan Muhyiddin untuk mencadangkan nama Razali. Seluruh pimpinan parti di peringkat negeri akan memberi sokongan sepenuhnya kepada sesiapa saja yang akan dilantik sebagai menteri.
“BERSATU negeri juga menyokong penuh jika betul desas desus Rosol yang kini Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) dilantik sebagai menteri penuh,” kata sumber berkenaan.
Sementara itu, Razali ketika dihubungi Berita Harian, enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini.
“Jika betul, Alhamdulillah. Jika sebaliknya, saya juga melafazkan Alhamdulillah. Sebagai ketua parti di peringkat negeri, saya bersama seluruh pimpinan BERSATU Terengganu akan berusaha dan bekerja keras memastikan Perikatan Nasional (PN) diberi mandat rakyat untuk menerajui negeri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.