Polis tahan pengawal keselamatan warga Bangladesh dakwa nampak harimau di Kemensah

0
370

SEORANG lelaki warga Bangladesh ditahan polis kerana disyaki menyebarkan berita palsu mendakwa terlihat kelibat harimau yang dikatakan terlepas dari Zoo Negara. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki berusia 51 tahun dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah itu, ditahan di pondok pengawal di Jalan Tropika Kemensah 3, Kemensah Height, Kuala Lumpur sekitar 7 malam pada Jumaat.

Beliau berkata suspek dipercayai bertanggungjawab menyebar maklumat melihat harimau berkenaan.

“Polis telah menerima laporan daripada seorang pengadu yang menerima pesanan suara menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa melihat kelibat harimau di kawasan kejiranannya dan meminta penduduk setempat berjaga-jaga.

“Pengadu merasakan dakwaan itu tidak benar dan mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat kerana setakat ini tiada bukti jelas tentang kehadiran harimau terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata lelaki itu kini disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen yang sah dan siasatan juga dibuka berhubung isu tular di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. 

Semalam, tular di media sosial dakwaan seekor harimau muncul dan berlegar di kawasan perumahan di Kemensah Height, Hulu Klang, namun Zoo Negara telah mengesahkan tiada harimau yang terlepas dari premisnya. –Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here