SEORANG pelajar sekolah Tahun Empat maut selepas motosikal dibonceng bersama ibunya terbabit dalam satu kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.45 petang itu, mangsa maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku penunggang motosikal, iaitu ibunya telah hilang kawalan sebelum terjatuh di atas jalan raya.
“Si ibu yang menunggang motosikal sempat menyelamatkan diri manakala anaknya digilis oleh lori dari arah sama dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bukit Mertajam untuk dibedah siasat manakala ibunya mengalami cedera ringan akan dirawat di hospital sama,” katanya menerusi sebuah kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kanak-kanak perempuan yang bersekolah di SK Alma itu difahamkan dijemput oleh ibunya untuk pulang ke rumah selepas satu majlis sambutan Aidilfitri di sekolah berkenaan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.