Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Tiada jerebu sehingga Jun - MetMalaysia -

Tiada jerebu sehingga Jun – MetMalaysia

PERALIHAN Monsun Barat Daya yang melanda negara bermula 14 Mei dijangka tidak akan menyebabkan berlakunya situasi jerebu dalam tempoh dua bulan akan datang.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal), Mohd Hisham Mohd Anip berkata, ketika ini, seluruh negara sedang mengalami fasa peralihan monsoon yang menyebabkan berlakunya hujan lebat dan ribut petir di beberapa kawasan, seperti yang dilaporkan Astro AWANI.

Tambah beliau, Monsun Barat Daya akan menyebabkan keadaan yang lebih kering dan panas.

“Bila kita masuk ke kemuncak Monsun Barat Daya yang dijangka berlaku sekitar Jun, Julai atau Ogos nanti, cuaca akan menjadi lebih kering, panas dan ketika itu, kita boleh menjangkakan berlakunya jerebu terutamanya jerebu tempatan.

“Andai kata berlakunya cuaca yang sama di Indonesia, maka kemungkinan berlakunya jerebu rentas sempadan akan ada yang mungkin terjadi sekitar Ogos dan Oktober,” katanya.

Ketika ini, jelas beliau, MetMalaysia tidak menjangkakan sebarang perubahan cuaca yang ekstrem termasuk masalah jerebu yang serius sepanjang bulan Mei dan Jun kerana negara masih baru melalui proses peralihan monsoon ke Monsun Barat Daya.

Secara lazimnya, monsun ini berlangsung sehingga sekitar pertengahan atau penghujung September, tambah Mohd Hisham.

Bercakap mengenai taburan hujan lebat dan kejadian ribut petir di seluruh negara yang melanda kebelakangan ini, beliau menegaskan keadaan tersebut adalah situasi biasa ketika awal peralihan monsun.

“Dalam beberapa hari yang lepas, kita dapati ada aktiviti ribut petir yang agak menyeluruh, namun melihat kepada tinjauan cuaca atau jangkaan untuk tempoh ke hadapan, ia menunjukkan bahawa tiada perubahan signifikan yang berlaku seperti sehari dua yang lepas,”

Bagaimanapun, kata Mohd Hisham, kejadian ribut petir masih boleh berlaku namun dijangkakan pada skala yang lebih kecil sahaja.

Namun, bagi kawasan Semenanjung Malaysia, keadaan cuaca diramal akan lebih banyak mengalami keadaan panas berbanding hujan sementara kawasan Sabah dan Sarawak dilihat sebagai kawasan tumpuan bagi keadaan ribut petir dan hujan lebat.