Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kertas cadangan eksport ketum ke Thailand bakal dibincang dalam Mesyuarat Exco Kedah -

Kertas cadangan eksport ketum ke Thailand bakal dibincang dalam Mesyuarat Exco Kedah

Oleh RIZQI ZABIDI

KERTAS cadangan mengenai permohonan kerajaan negeri Kedah terhadap kerajaan Persekutuan bagi membenarkan urusan pengeksportan ketum ke luar negara bagi tujuan perubatan bakal diangkat ke Mesyuarat Exco kerajaan negeri, tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau dimaklumkan kertas cadangan tersebut sudah pun disiapkan oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah.

“BPEN maklumkan kertas cadangan itu sudah siap tetapi saya belum membacanya lagi. Insya Allah selepas ini kertas cadangan itu akan dibawa ke dalam Mesyuarat Exco sebelum dipanjangkan ke Kerajaan Persekutuan untuk pertimbangan lanjut.

“Kertas itu mungkin akan dibawa untuk dibincangkan pada minggu depan atau minggu yang satu lagi. Kalau Kerajaan Persekutuan benarkan, bolehlah kita buat (eksport) tetapi kalau mereka kata ‘no way’, maka kita terpaksa tunggulah dan berharap ada perubahan selepas ini termasuk penemuan-penemuan baharu melibatkan ketum,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

Pada Mac lalu, Muhammad Sanusi mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan agar membenarkan Kedah mengeksport ketum ke Thailand sebagai antara langkah membanteras kegiatan penyeludupan melibatkan tumbuhan itu.

Selain membolehkan kerajaan mengutip cukai, langkah itu juga mampu mengurangkan penggunaan tenaga, komitmen, sumber serta masa yang digunakan untuk membanteras penyeludupan ketum kerana Thailand sudah pun mengkomersialkan tanaman itu terutamanya melibatkan bidang perubatan.

Sementara itu Muhammad Sanusi menjelaskan, cadangan diutarakannya itu bukanlah bermakna beliau menyuruh rakyat menanam ketum.

“Saya bukan suruh tanam. Saya cuma minta kerajaan benarkan untuk kita eksport ketum sedia ada.

“Yang sedia ada itu pun banyak sedang diseludup. Jadi kita selesaikanlah isu ini dengan benarkan ketum dieksport,” katanya. – SB