Buruh warga Indonesia mati ditetak dengan parang

0
41

POLIS menahan seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki menetak seorang buruh dengan parang sehingga maut, selepas dikatakan mengamuk di rumah kongsi di Kampung Semangat, Pekan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2.30 pagi semasa buruh yang juga warga Indonesia hanya dikenali sebagai Selamet, 45, hendak ke tandas di luar rumah kongsi itu.

“Suspek didakwa muncul secara tiba-tiba dalam keadaan mengamuk dan terus menetak mangsa beberapa kali termasuk di leher, dahi, dagu dan bahu selain turut menyebabkan telinga kanan mangsa putus sebelum meninggalkan lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati abang mangsa yang tinggal di situ, melihat suspek mundar-mandir dengan membawa parang kira-kira 30 minit sebelum kejadian, namun suspek kemudiannya dilihat balik semula ke rumahnya yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah didiami mangsa.

Menurutnya, suspek yang berusia 32 tahun berjaya ditahan semasa berada di tepi Jalan Pekan-Kuantan berhampiran Kampung Ubai, Kuantan pada 7.30 pagi semalam, yang kemudiannya membawa kepada penemuan parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here