Polis kenal pasti 5 suspek kelar, tetak lelaki

0
260

LIMA suspek yang terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki yang maut ditetak dalam kejadian pergaduhan berhampiran sebuah medan selera di Kampung Baru, Bukit Merjajam, kelmarin, sudah dikenal pasti.

Usaha menjejaki kesemua suspek berkenaan giat dijalankan terhadap semua suspek termasuk seorang daripada adalah wanita.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, siasatan percaya semua lima suspek berkenaan saling mengenali antara satu sama lain dengan mangsa.

“Kita sudah kenal pasti identiti suspek dan sedang menjejaki mereka.

“Setakat ini, punca kejadian serta punca berlakunya pergaduhan antara mereka masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Shafee berkata, laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan parah akibat ditikam, dikelar dan ditetak seluruh badan.

“Polis terus memohon kerjasama orang awam yang menyaksikan kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan terus menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Ahmad Shahir Adnan di talian 019-9517045 atau 04-5382222,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa berusia lingkungan 30-an dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) oleh orang awam untuk rawatan selepas mengalami kecederaan serius di bahagian badan sebelum disahkan meninggal dunia.

Susulan kematian mangsa, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kejadian itu turut tular melalui beberapa video dalam media sosial memaparkan kejadian pergaduhan yang diambil orang awam yang melalui kawasan berkenaan.

Dalam video itu, kelihatan seorang wanita didapati memegang senjata tajam dipercayai parang dengan terdapat mangsa yang parah terbaring di atas jalan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here