MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) akan memberikan apa sahaja sokongan kepada semua pihak dalam merancakkan semula sektor ekonomi negara setelah Malaysia kini melalui fasa peralihan endemik Covid-19.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, segala syor, cadangan dan dapatan daripada pihak yang terlibat akan dikemukakan kepada pihak kerajaan bagi memastikan tindakan susulan dapat diambil.
“MPN akan sentiasa menyokong apa sahaja program pemulihan ekonomi terutama yang melibatkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (IKS), peniaga dan juga penjaja kecil,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook pada malam Sabtu.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata sedemikian selepas melakukan lawatan kerja ke kilang pemprosesan sarang burung walet, Jutawalet Services & Trading di Bintulu, Sarawak.
Perusahaan yang dijalankan sejak lima tahun lalu di bawah kendalian Patrick Jenau anak Tindit itu mampu menghasilkan produk sehingga dua tan sebulan.
Namun, sehingga kini, produk yang dihasilkan hanya dapat dipasarkan sekitar kawasan Sibu dan Kuching kerana kesukaran dalam memperoleh permit eksport.
“Saya dimaklumkan oleh Patrick Jenau, beliau bercadang untuk mengeksport terus ke negara Arab sekiranya permohonan AP diluluskan memandangkan produk ini mendapat sambutan hangat daripada rakyat di negara berkenaan.
“Saya kagum dengan kegigihan Patrick sehingga dapat menjana pendapatan kira-kira RM30,000 sebulan atau melebihi RM300,000 setahun. Lebih membanggakan lagi, kilang ini berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 20 orang yang terdiri daripada penduduk setempat,” tambah beliau.
Bekas Perdana Menteri itu turut berharap pihak berkuasa dapat memudahkan permohonan Patrick bagi membolehkan perusahaannya itu dapat dibawa ke tahap yang lebih tinggi.
Pada masa sama, Muhyiddin juga sempat meninjau operasi Kedai Prihatin Parlimen Bintulu yang ditubuhkan Koperasi Bersatu Bintulu Berhad.
Beliau percaya pembukaan lebih banyak kedai seperti itu mampu membantu rakyat berpendapatan rendah mendepani kos sara hidup yang semakin meningkat kebelakangan ini. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.