Imran Khan dakwa ada konspirasi membunuhnya

0
299

BEKAS Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan pada malam Sabtu mendakwa terdapat konspirasi untuk membunuhnya.

Bercakap pada perhimpunan besar-besaran di bandar Sialkot, Imran berkata, beliau telah merakam video dan mendedahkan nama “dalang” agar ramai orang tahu siapa yang mahu membunuhnya sekiranya rancangan itu berjaya.

“Konspirasi sedang dibuat secara tertutup di dalam dan di luar negara, dan konspirasinya ialah: mereka mahu mengambil nyawa Imran Khan,” kata bekas Perdana Menteri itu pada perhimpunan anjuran parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI).

“Saya telah merakam video dan menyimpannya di tempat selamat. Jika sesuatu berlaku kepada saya, seluruh negara akan menonton video ini… Saya telah menamakan semua yang terlibat dalam konspirasi itu menerusi rakaman video,” kata Imran.

Polis sebelum ini membubarkan perhimpunannya dan menahan beberapa penyokong, tetapi Imran meneruskan himpunan awam itu di lokasi lain.

Perhimpunan Sialkot adalah siri terbaharu bagi perhimpunan besar-besaran Imran sejak kerajaannya digulingkan melalui usul undi tidak percaya yang diluluskan mahkamah di parlimen.

Imran berkata, lawannya di Pakistan dan negara asing menganggapnya sebagai “halangan yang perlu disingkirkan.”

Pada perhimpunan itu, Imran telah menyelar lawannya dan menggesa pilihan raya diadakan segera bagi menamatkan krisis politik negara.

Imran menyeru penyokongnya menunggu sehingga akhir bulan ini sebelum berarak ke Islamabad, dan berharap dapat mengumpulkan 2.5 juta orang. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here