SEORANG penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) cedera setelah dipukul di bahagian muka sebelum disamun dan ditinggalkan di tepi jalan oleh rakan lelakinya di Jalan Kedai Mulong di Kota Bharu.
Mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan lanjut selepas mengalami kecederaan bengkak serta lebam di bahagian muka dan hidung.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mangsa yang berusia 20-an itu dikatakan keluar bersama suspek yang juga rakan lelakinya untuk makan malam kira-kira jam 10 malam, kelmarin, lapor BH Online.
Menurut Mohd Rosdi, sebaik sahaja selesai makan malam, mangsa telah dibawa suspek untuk menemaninya berjumpa seorang rakan di sebuah hotel.
“Semasa berada di hotel, suspek bersama kawan lelakinya mengajak mangsa ke sebuah bilik penginapan. Mangsa yang berasa takut dan curiga dengan hal itu kemudiannya meminta untuk dihantar pulang.
“Ketika dalam perjalanan pulang, berlaku pertengkaran di antara kedua-dua pihak. Susulan itu, suspek kemudiannya bertindak memberhentikan kereta yang dipandu dan menumbuk serta menendang mangsa,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, mangsa turut mengalami kerugian kira-kira RM3,000 setelah suspek turut mengambil telefon bimbit dan wang tunai milik mangsa sebelum meninggalkannya di tepi jalan.
Mangsa kemudiannya menghubungi Balai Polis Nilam Puri untuk memaklmukan kejadian tersebut sebelum dibawa ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan.
“Susulan laporan yang diterima, polis telah menahan seorang anggota tentera dan pemandu lori berumur dalam lingkungan 20-an yang dipercayai terbabit dalam kejadian pada pukul 5.30 petang Rabu lalu selepas mereka tampil menyerah diri.
Kes ini diselesaikan dalam tempoh 24 jam dan kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.