DUA Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 hari dan denda sebanyak RM10,000 kepada seorang pekerja syarikat penyelenggaran kerana menghalang tugas anggota polis yang mengiringi konvoi Yang Dipertua Negeri Sarawak dan memandu secara melulu serta berbahaya di Lebuh Raya Sultan Iskandar, Kuala Lumpur, Jumaat lepas.
Bernama melaporkan Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM3,000 selepas Erdy Erwan Hamdan, 36, mengakui bersalah menghalang Lans Koperal Mohd Azwar Iqbal Chinang daripada menjalankan tugasannya mengiringi Yang Dipertua Negeri Sarawak di Lebuh Raya Sultan Iskandar, pada 11.30 malam, 6 Mei yang lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Majistret Amanina Mohamad Anuar pula menjatuhkan hukuman penjara lima hari dan denda RM7,000 serta lelaki tersebut hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, selepas mengaku memandu dengan cara melulu dan berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna lain di lokasi dan masa yang sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 serta kelayakan memegang dan mendapatkan lesen tidak kurang daripada lima tahun.
Aina Azahra memerintahkan lelaki itu untuk dipenjarakan selama tujuh hari bermula dari tarikh tangkap pada 7 Mei atau dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Sementara itu, Amanina memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini atau dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.
Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Norazman dan Pegawai Pendakwa Raya Inspektor Abdullah Khazali memohon hukuman sewajarnya diberikan bagi memberikan pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Eddy Erwan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan diberikan di atas faktor pendapatan RM1,600 hingga RM1,700 perlu menanggung isteri dan dua anaknya selain bapanya baru sahaja meninggal dunia.
Sebelum ini, tular rakaman kamera papan pemuka berdurasi 53 saat memaparkan sebuah Honda Civic kuning dipandu laju dan memotong konvoi menggunakan laluan kecemasan di Lebuh Raya Sultan Iskandar.
Video itu turut menunjukkan pemandu kereta tersebut mengabaikan isyarat juru iring supaya keluar daripada laluan konvoi selain menyebabkan geseran berlaku dengan sebuah lagi kenderaan.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.