Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Sebutan semula kes suami isteri dituduh bunuh kanak-kanak 21 Jun -

Sebutan semula kes suami isteri dituduh bunuh kanak-kanak 21 Jun

MAHKAMAH Majistret Kuching menetapkan 21 Jun ini sebagai tarikh perbicaraan semula kes suami isteri yang menghadapi tuduhan membunuh kanak-kanak berusia empat tahun, Eric Chang Wei Jiw, bulan Mac lalu.

BH Online melaporkan, tarikh itu ditetapkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, Dora Undau hari ini bagi menunggu laporan kimia selepas permohonan itu dikemukakan pihak pendakwaan.

Tertuduh, Wendy Chai Xue Zhen, 37, bersama suaminya, Ling Kok Liang, 51, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mengikut kertas pertuduhan, pasangan tersebut didakwa membunuh kanak-kanak itu secara bersama di rumah bernombor 1493, Lorong 2, Taman Riverview, Jalan Daya, Bintawa, Kuching di antara jam 5 petang 4 Mac sehingga 9.15 pagi, 7 Mac lalu.

Menyedari kehilangan mangsa, ibunya, Dynasty Chang Ka Hui, 25, kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Bintawa pada hari yang sama selepas gagal mencari anaknya yang dilaporkan hilang daripada rumah penjaganya.

Berikutan itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dengan pencarian dilakukan di kawasan Bintawa.

Bagaimanapun, kes ini kemudian diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 13 Mac lalu, hasil perkembangan lanjut siasatan.

Pasangan suami isteri itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kuching pada 31 Mac lalu, dan Majistret Zaiton Anuar menetapkan hari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Beliau turut memerintahkan kedua-dua tertuduh ditahan di Penjara Puncak Borneo sementara menunggu sebutan semula kes.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tan Chuan Yi sementara kedua tertuduh tidak diwakili peguam – SB