Saham akhirat Janna Nick

TIDAK mahu terus selesa dengan apa yang dimiliki, pelakon Janna Nick mendedahkan yang dia bakal mendirikan sebuah pusat tahfiz yang sudah menjadi impiannya sejak dahulu lagi.

Jelasnya, dia mahu membina tahfiz tersebut di Kampung Bukit Kechil Simpor, Kedah dan sedang mengumpulkan dana untuk merealisasikan tersebut dengan kerjasama beberapa pihak lain.

“Sejak dahulu saya memang mengimpikan untuk memiliki sebuah pusat tahfiz dan menjaga anak yatim. Kita sedang mengumpul dana dan dijangka menelan belanja sekitar RM6 juta.

“Saya berharap semoga Allah mempermudahkan segala urusan saya untuk perkara yang satu ini,” katanya yang baru sahaja mengumpulkan dana berjumlah RM500,000.

Memilih nama Kompleks Tahfiz & Anak Yatim Nurul Jannah, dia bersyukur kerana mendapat kerjasama baik daripada penduduk kampung terutamanya ahli jawatankuasa masjid (AJK) kampung tersebut.

Baginya lokasi tersebut begitu istimewa kepada dirinya memandangkan di sanalah dia membesar sebelum ini.

“Saya beruntung kerana dapat menabur bakti di kampung tersebut. Selain itu saya bersyukur kerana mendapat kerjasama dan kepercayaan daripada AJK masjid dan orang kampung.

“Buat masa ini kita sudah mengeluarkan kos sebanyak RM400,000 untuk membeli tanah dan mengusahakan kerja-kerja berkaitan,” katanya berterus terang.

Katanya, pihaknya hanya akan melakukan kerja pembinaan apabila dana terkumpul berjumlah RM2 juta dan menganggarkan tempoh masa selama dua tahun untuk menyiapkannya.

“Sekolah tahfiz ini khusus untuk pelajar sekolah rendah bermula darjah satu hingga enam. Harapnya impian kecil ini mampu jadi kenyataan dengan bantuan anda semua.

“Walaupun kos untuk menyiapkan pusat tahfiz ini agak besar, tapi saya percaya dengan kuasa sedekah, semuanya akan dipermudahkan Allah,” katanya.