AES kini kembali beroperasi sepenuhnya

SELEPAS ditangguh penggunaannya selama setahun pada 2020, Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) atau sebelum ini dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), kembali beroperasi sepenuhnya Oktober lalu.

Ia membabitkan pemasangan 29 kamera yang digunakan bagi tujuan memantau kesalahan melebihi had laju, manakala 16 kamera lagi bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah.

Dianggarkan kos pemasangan, tidak termasuk penyelenggaraan sebuah kamera adalah antara RM200,000 hingga RM250,000 termasuk kos tanah, kabel elektrik, pembangunan infrastruktur dan kamera.

Bercakap kepada BH Online, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim, berkata bermula Mac tahun lalu, pengoperasian AWAS kembali dilaksanakan tetapi secara berperingkat.

“Sejak pengoperasian AWAS dilakukan secara berfasa dan sehingga Oktober 2021, semua 45 unit kamera di seluruh negara sudah berfungsi sepenuhnya,” katanya.

Walaupun kini sistem itu dikendalikan sepenuhnya oleh JPJ, Zailani berkata, dari aspek penyelenggaraan sistem itu masih dilakukan secara penyumberan luar oleh syarikat swasta.

Sebelum ini, timbul dakwaan kononnya kebanyakan kamera AES dijenamakan semula sebagai AWAS yang dipasang di seluruh negara tidak berfungsi, sekali gus dikhuatiri mengundang pembaziran memandangkan kos pemasangannya bukan sedikit.

Sistem AES sendiri terpalit beberapa isu, antaranya pelaksanaannya yang dijalankan secara penyumberan luar kepada syarikat swasta bagi penguatkuasaan trafik, yang mana Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyifatkannya sebagai tidak wajar.

PAC yang menjalankan prosiding berkaitan AES pada 2020 dan 2021 mengesyorkan penambahbaikan dengan memastikan terma dalam mana-mana perjanjian konsesi tidak merugikan kerajaan, selain kerajaan perlu sentiasa memantau dan memastikan keberkesanan sistem terbabit dalam usaha menjaga keselamatan jalan raya dan pematuhan undang-undang.

Dari segi penguatkuasaan, ia diletakkan sepenuhnya di bawah penguatkuasaan JPJ sejak 2018 tanpa menjalinkan kerjasama dengan trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

PDRM mempunyai kamera pengawasan had laju mereka sendiri, manakala JPJ menguruskan sistem AWAS. Sementara itu, menurut sumber, tiada penambahbaikan dibuat terhadap sistem AWAS yang dijenamakan semula, melainkan merangkumi penambahan unit kamera sejak AES diperkenalkan.

Difahamkan, fungsi dan tujuannya tetapkan sama dengan AES, cuma nama sistem itu sahaja dijenamakan semula dan dikenali AWAS pada 2016. Hanya dua kesalahan yang dikuatkuasakan di bawah sistem itu, iaitu memandu melebihi had laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

AES mampu mengubah sikap, tingkah laku dan budaya pemanduan melalui penguatkuasaan. AES dikuatkuasakan pada 23 September 2012 dan pada 14 Januari 2015, Jemaah Menteri ketika itu bersetuju Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengambil alih projek AES daripada Syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd.

Konsesi diuruskan LTAT berkuat kuasa dari 14 Januari 2015 hingga 31 Ogos 2018.

Namun, pada 17 Ogos 2018, kerajaan memutuskan perjanjian konsesi AES/AWAS dikendalikan LTAT itu ditamatkan mengikut tarikh luput kontrak, manakala pengoperasian, pembangunan, penyelenggaraan dan penguatkuasaannya dikendali sepenuhnya Kementerian Pengangkutan serta JPJ.