SEORANG warganegara Malaysia, Nagaethran Dharmalingam menjalani hukuman gantung sampai mati di Penjara Changi, Singapura pada jam 6 pagi Rabu.
Nagaethran yang berasal dari Perak menjalani hukuman berkenaan selepas disabitkan kesalahan menyeludup 43 gram, yang bersamaan tiga sudu besar heroin ke Singapura 12 tahun lalu.
Hukuman ke atas Nagaethran itu yang dilaksanakan selepas lebih sedekad menjalani hukuman penjara telah menerima bantahan orang ramai ekoran pendirian Singapura yang tetap mahu menggunakan peruntukan hukuman mati selain keputusan hukuman gantung oleh mahkamah selepas mengetahui statusnya sebagai orang kurang upaya (OKU) mental.
Nagaethran telah didiagnosis mempunyai skor IQ sebanyak 69, yang mana individu dengan tahap itu boleh diisytihar OKU, dilaporkan melakukan jenayah tersebut kerana dipaksa.
Sebelum ini, Nagaethran dijadualkan untuk menjalani hukuman mati pada November tahun lalu namun memperoleh penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah diberitahu dia positif Covid-19 ketika hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.
Bagaimanapun, Mahkamah Agung Singapura telah menolak rayuan akhirnya bulan lalu.
Terbaharu pada Selasa (26 April), Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir yang difailkan ibu Nagaethran untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.
Hakim Andrew Phang berkata usul jenayah yang difailkan oleh Panchalai Supermaniam adalah satu “percubaan yang telah dirancang” bagi melewatkan proses akhir mahkamah.
Panchalai sendiri hadir di mahkamah ketika prosiding selepas tidak berjaya mendapatkan khidmat peguam bagi mewakili anaknya.
Hukuman mati Nagaenthran turut mencetuskan kecaman di peringkat antarabangsa, di mana Kesatuan Eropah dan taikun Britain Richard Branson turut mengecam keputusan tersebut.
Pemimpin kerajaan Malaysia termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menulis surat kepada kerajaan Singapura dalam usaha memberi kelonggaran dalam kes itu.
Sementara itu, pada 3 Disember 2021, Presiden Singapura Halimah Yacob berkata Nagaenthran sudah diberikan proses undang-undang yang sewajarnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.