Gaji RM10,000 ‘propa’ rupanya…

NAMA Datuk Seri Vida sekali lagi panas apabila dikatakan menipu netizen dengan mengatakan dia mengambil seorang pembantu peribadi (PA) dengan tawaran gaji sebanyak RM10,000 sebulan seperti yang dihebohkan sebelum ini.

Lelaki yang dikenali Abang Qu atau nama sebenarnya Syed Qusyaiei Syed Mahmud Iskandar mendedahkan semuanya hanyalah lakonan dan dia diminta berlakon sahaja sebagai PA.

“Setelah habis rakaman muzik video Ku Ikhlaskan, saya menunggu juga surat perjanjian kerja memandangkan ia sangat penting, namun masih tidak ada.

“Tidaklah saya guna perkataan berhenti kerana pada peringkat awal saya ditawar untuk kolaborasi, tetapi kini kami tidak lagi jalankan apa-apa kolaborasi bersama,” katanya.

Dia mendedahkan perkara berkenaan melalui satu sesi siaran langsung di Instagram baru-baru ini.

Menjelaskan lagi isu perkara berkenaan, Abang Qu mengakui bahawa kini dia tidak lagi berkolabrasi bersama Vida kerana sehingga sekarang tiada sebarang surat tawaran atau perjanjian kerja diberikan kepadanya.

Dedahnya lagi, Vida telah menawarkan peluang untuk melakukan kolaborasi bersama sebagai rakan kerja, tetapi pada akhirnya dia perlu bertugas sebagai PA sebenar walaupun ia hanya lakonan dan arahan semata-mata.

Dia juga sempat menitipkan pesanan kepada orang ramai supaya bersikap lebih peka dengan sebarang tawaran kerja yang diberikan dan pastikan ia mempunyai perjanjian lengkap sebelum memulakan tugas.

Dalam pada itu, Vida pula mengesahkan yang Abang Qu sudah tidak bekerja lagi dengannya dan mempersoalkan tindakan lelaki berkenaan mendedahkan perkara tersebut kepada umum.

“Baru sebulan siapkan muzik video dia sudah buat begini. Sudah pandai cedok ilmu drama dan bercerita untuk tambah view di media sosial. Tak tahulah kenapa dia buat perangai begini. Mungkin mahu elak dari memberi komitmen lanjut.

“Ini juga peringatan kepada saya terhadap orang yang mahu mengambil kesempatan untuk popular. Dia sengaja mahu isu ini diperbesarkan,” ujarnya memberikan komen balas. – SB