Covid-19: Kes sembuh melebihi jangkitan 10 hari berturut-turut

0
198

MALAYSIA terus merekodkan kes sembuh COVID-19 lebih tinggi berbanding kes baharu selama 10 hari berturut-turut, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau berkata sebanyak 14,423 kes sembuh direkodkan semalam, lebih tinggi berbanding 7,140 kes baharu yang menjadikan kumulatif kes COVID-19 dalam negara kini 4,396,165.

“Daripada jumlah kes baharu dilaporkan semalam, 3,639 (50.96 peratus) adalah kategori dua; 3,458 kes (48.43 peratus) dalam kategori satu manakala kategori tiga dan empat masing-masing mencatat 14 kes (0.20 peratus) dan 15 kes (0.21 peratus) dalam kategori lima,” katanya.

Dr Noor Hisham memaklumkan 308 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital semalam yang merangkumi 171 kes iaitu 55.5 peratus daripada kategori tiga, empat dan lima, manakala 137 kes (44.5 peratus) adalah kategori satu dan dua.

Bagi penggunaan fasiliti kesihatan khusus untuk kes COVID-19, beliau berkata tiada negeri mencatat penggunaan katil masing-masing di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) melebihi 50 peratus.

Beliau berkata pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan pula menurun kepada 68 pesakit semalam dengan peratusan penggunaan ventilator adalah sembilan peratus.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau nilai Rt dicatatkan di seluruh negara adalah 0.88 dengan Selangor merekodkan nilai tertinggi iaitu 0.91. 

Tiada kluster baharu direkodkan semalam dan jumlah kluster yang aktif adalah 114.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here