Dua ahli PSM ditahan disyaki ganggu ketenteraman awam

0
197

POLIS menahan dua lelaki dipercayai ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) kerana mengganggu ketenteraman awam dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas di sebuah lot tanah persendirian di Chepor, Chemor, Ipoh, hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan bahawa terdapat sekumpulan lelaki menghalang dan mengganggu kerja-kerja pembersihan tanah serta mengancam keselamatan pekerja pemilik tanah berhampiran Taman Chepor Impian itu pada pukul 8.35 pagi.

“Pasukan polis telah dihantar ke lokasi berkenaan dan kumpulan lelaki itu gagal membuktikan hak pemilikan ke atas tanah tersebut dan pegawai polis bertugas menasihatkan mereka supaya bersurai bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini sedangkan mereka juga telah melakukan kesalahan pencerobohan.

“Setelah mendengar nasihat pihak polis, kebanyakan orang awam yang berkumpul di sana akur dan bersurai lalu beredar dari tempat kejadian namun dua lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai ahli PSM itu enggan bekerjasama dan tidak mahu beredar dari tempat kejadian malah melakukan provokasi kepada pegawai polis yang bertugas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, pihak polis terpaksa menjalankan tangkapan ke atas kedua-dua individu berkenaan di bawah Seksyen 186 dan 447 Kanun Keseksaan setelah memberi amaran sebanyak tiga kali bagi mengelakkan mereka terus menghasut orang ramai mengganggu ketenteraman awam dan pencerobohan.

Terdahulu, laman Twitter rasmi PSM hari ini memuat naik gambar di lokasi kejadian dan memaklumkan aktivis parti itu ditahan polis apabila sedang mempertahankan tanah pertanian petani di Chepor Impian dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here