Polis tahan pemandu lawan arus rempuh dua motosikal

0
269

POLIS menahan pemandu kereta yang merempuh dua penunggang motosikal ketika memandu melawan arus di Kilometer 30.1 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) arah Telok Panglima Garang, Selangor, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, suspek ditahan sekitar jam 4 petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Banting, ekoran kecederaan di kepala selepas melanggar penunggang motosikal kedua.

Ketika kejadian pada jam 2.49 petang semalam, penunggang motosikal Honda Dash dari arah Banting menghala Bandar Saujana Putra tiba di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Tanjung 12 Lebuhraya SKVE (arah Pulau Indah ke Bandar Saujana Putra).

“Ketika itu, penunggang Honda Dash sedang bergerak lurus, tiba-tiba terlihat sebuah Perodua Bezza berhenti di lorong kecemasan menyebabkan penunggang motosikal itu terus memberhentikan kenderaannya di hadapan kereta terbabit.

“Secara tiba-tiba, kereta itu bergerak semula lalu melanggar sisi bahagian hadapan Honda Dash itu sehingga penunggang terjatuh dan mengalami kecederaan ringan di kaki dan tangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun katanya, suspek meneruskan perjalanannya dengan melawan arus di lorong kecemasan lebuh raya berkenaan selepas pelanggaran tersebut.

“Apabila tiba di KM 30.1 Lebuhraya SKVE, dia melanggar Yamaha LC 135 yang sedang bergerak terus (dari arah Banting menghala ke Bandar Saujana Putra) sehingga menyebabkan penunggang motosikal itu tercampak di jalan dan mengalami kecederaan di kedua-dua tangan dan kaki.

“Dalam kemalangan ini, kesemua mangsa terbabit mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Banting untuk menerima rawatan,” katanya.

Tambah Ahmad Ridhwan, suspek yang berusia 42 tahun itu telah ditangkap dan pihaknya telah mengambil sampel darah bagi tujuan analisa alkohol dan dadah.

“Suspek ditangkap di hospital selepas dibawa dengan ambulans dari tempat kemalangan dan ditahan di wad kerana cedera di kepala.

“Suspek tidak akan direman kerana mengalami kecederaan,” katanya.

Katanya, saksi bebas yang melihat kemalangan berlaku atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan ini boleh menghubungi mana-mana balai Polis berhampiran.

“Mereka juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 011-18539115 @ 03-31872222,” katanya.-SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here