SPRM diminta siasat dakwaan rasuah Tok Mat

0
300

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat dakwaan dikeluarkan sebuah portal berita yang mengaitkan tuduhan rasuah membabitkan seorang pemimpin tertinggi UMNO.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Ketua Penerangan UMNO Cawangan Setapak Jaya 1A, Bahagian Setiawangsa Kuala Lumpur, Datuk Halim Rahmat berkata, beliau mahu SPRM menyiasat secara telus mengenai kesahihan dakwaan itu.

Beliau berkata, portal berita itu mendedahkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan dituduh menerima suapan rasuah berkaitan projek pembalakan dan pajakan tanah di Negeri Sembilan sekitar tahun 2008 hingga 2010.

“Kami hadir ke Ibu Pejabat SPRM hari ini bagi meminta agensi itu menyiasat kesahihan tuduhan berkenaan. Kami sudah muak dengan kisah-kisah penyelewengan dan rasuah membabitkan pemimpin utama parti, justeru siasatan perlu dilakukan segera,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan aduan kepada SPRM, pada Rabu.

Katanya, beliau minta siasatan itu disegerakan memandangkan Mohamad adalah pemimpin utama parti.

Sebelum ini, sebuah portal berita, Malaysia Today mendedahkan Mohamad yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan didakwa menerima suapan bernilai RM10 juta daripada seorang pengarah syarikat.

Dakwaan itu didedahkan penulis blog, Raja Petra Kamarudin sebelum disiarkan di portal berita berkenaan pada Isnin lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here