[VIDEO] Kelas Pemulihan Gam bantu kanak-kanak jauhi, kawal ketagihan gam

0
409

MASALAH kanak-kanak yang tidak mempunyai kerakyatan seperti di Semporna, Sabah menimbulkan masalah sosial terutamanya apabila terjebak dengan aktiviti menghisap gam, biarpun usia mereka masih setahun jagung.

Memetik laporan MalaysiaNow, terdapat ribuan kanak-kanak yang tidak mempunyai kerakyatan di Semporna, yang majoritinya adalah anak-anak yang diabaikan ibu bapa.

Ekoran status mereka itu, pelbagai masalah dihadapi golongan berkenaan sehingga menyebabkan mereka terjerumus ke dalam pelbagai gejala sosial.

Susulan itu, bagi membantu golongan kanak-kanak berkenaan mendapatkan keperluan pendidikan, aktivis daripada Borneo Komrad mengambil inisiatif dengan menubuhkan Sekolah Alternatif.

Ahli Kesatuan Pelajar Sekolah Alternatif Semporna yang dikenali Suhaimah berkata, sekolah alternatif ini menyediakan kelas pemulihan gam kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai kerakyatan, bagi memberi kesedaran supaya tidak terjebak dengan aktiviti itu.

“Tujuan kami mengadakan kelas pemulihan gam ini adalah kerana kita boleh nampak ramai kanak-kanak di Semporna yang menghisap gam. Jadi kami mahu mencegah lebih ramai anak-anak daripada terus terjebak,” katanya menerusi satu video di Facebook Borneo Komrad.

Sementara setiausaha kesatuan itu, Shamaikah Abdullatiff berkata, mereka turut menyediakan kelas pemulihan gam untuk membantu mereka yang ketagihan untuk berhenti.

“Kami dengan perlahan-perlahan mengajar mereka tentang keburukkan menghisap gam.

“Kami bukan sahaja mengajar kanak-kanak yang sudah terjebak dengan aktiviti itu, kami juga mendidik kanak-kanak jalanan dengan memberi peluang kepada mereka mendapat pendidikan asas yang secukupnya,” ujarnya.

Dalam satu wawancara bersama MalaysiaNow katanya, penjual gam menjual gam kepada kanak-kanak ini dengan harga serendah 20 hingga 50 sen sebekas, malah turut menyediakan pondok untuk kanak-kanak ini menghidu gam.

Katanya, ramai kanak-kanak yang terjerumus dalam tabiat buruk ini berasal daripada keluarga miskin, di mana ibu bapa mereka tidak mampu untuk memberikan nafkah kepada keluarga.

Lebih menyayat hati, menghidu gam dianggap mereka sebagai satu cara untuk melupakan realiti kehidupan dan kelaparan yang ditanggung untuk beberapa jam.

Selain mata pelajaran akademik, kanak-kanak itu turut didedahkan terhadap kepentingan kebersihan asas, kelas lakonan dan muzik.

Bagaimanapun katanya, cabaran terbesar bagi mereka ialah menamatkan tabiat ketagihan kanak-kanak menghidu gam kerana ramai daripada mereka sering mengulangi tabiat itu selepas berhenti.

Namun bagi guru-guru di Sekolah Pemulihan Gam, usaha mereka akan berbaloi jika ia dapat membantu kanak-kanak selamat di bilik darjah dan jauh daripada sebarang gejala sosial.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here