Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Sindiket dadah antarabangsa kempunan, 21 kg syabu dirampas polis -

Sindiket dadah antarabangsa kempunan, 21 kg syabu dirampas polis

SATU sindiket dadah antarabangsa di Pulau Pinang berputih mata apabila bekalan dadah berupa syabu seberat 21 kilogram (kg) bernilai RM756,720 yang dibawa menggunakan jalan laut dipercayai dari negara jiran berjaya dirampas polis.

Bekalan dadah yang baru tiba itu berjaya dihidu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Barat Daya dan pasukan Polis Marin Wilayah 1 yang melakukan serbuan di tepi pantai Tanjung Asam, Teluk Kumbar pukul 11 malam pada Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, bekalan dadah yang dimuatkan di dalam 20 bungkusan itu dijumpai disorokkan di dalam sebuah bot di kawasan tersebut dan polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun di atas bot berkenaan.

Jelasnya, hasil serbuan itu membawa kepada penahanan suspek kedua yang merupakan warga asing berusia 44 tahun dan bekerja sebagai mekanik di kawasan sama pukul 1 pagi keesokan harinya.

“Kedua-dua suspek itu dipercayai sudah terlibat dengan aktiviti mengedar dadah jenis syabu tersebut sejak awal tahun ini dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas terbabit jika terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh seramai 105,100 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Menurut Mohd. Shuhaily, sindiket itu merupakan antara dua sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berjaya ditumpaskan polis Pulau Pinang minggu ini membabitkan keseluruhan rampasan dadah sebanyak 184.7 kg bernilai RM1.2 juta.

Sindiket dadah kedua jelasnya, berjaya ditumpaskan menerusi operasi terancang Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di Pulau Pinang dan Sungai Petani, Kedah pada Rabu lalu.

Ujar beliau, operasi itu melibatkan sembilan serbuan yang mana dadah jenis ganja seberat 163.65 kg bernilai RM409,125 berjaya dirampas daripada sindiket terbabit.

“Dalam operasi itu, seramai sembilan individu masing-masing tujuh lelaki dan dua wanita tempatan berumur antara 25 hingga 55 tahun berjaya ditahan,” katanya.

Katanya, empat suspek kemudian direman selama tujuh hari bermula 31 Mac hingga 6 April manakala lima lagi ditahan reman selama tiga hari sehingga esok untuk siasatan lanjut.

Selain itu ujar beliau, polis turut menyita lapan kenderaan, empat barang kemas, tiga utas jam tangan dan wang tunai berjumlah RM234,550 daripada sindiket terbabit. – SB