Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
15 kedai musnah dalam kebakaran -

15 kedai musnah dalam kebakaran

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KIRA-KIRA 15 kedai di Pasar Yong Peng Sdn Bhd, Yong Peng, Batu Pahat, Johor musnah dalam satu kebakaran pada pukul 2.20 pagi.

Orang awam yang menyedari kejadian tersebut menghubungi pihak bomba pada jam 2.29 pagi sebelum 17 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusof berkata, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku kerana semasa kejadian bangunan itu kosong.

“Kebakaran melibatkan 15 lot kedai penjaja kecil berkeluasan 15 X 51 meter dalam bangunan pasar basah struktur separuh kekal yang berkeluasan keseluruhan 22 x 51 meter.

“Kebakaran memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan bangunan. Kebakaran turut melibatkan sebuah motosikal Suzuki RG, memusnahkan 95 peratus kenderaan.

“Kebakaran tidak melibatkan mangsa dan kerja-kerja ‘overhaul’ sedang dijalankan di tempat kejadian. Operasi tamat pada pukul 9.05 pagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, insiden tersebut turur menarik perhatian Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Dr. Wee Ka Siong yang turut memuat naik beberapa foto kejadian berkenaan dalam Facebook miliknya.

“Kebakaran berlaku di Pasar Awam Jalan Templer, Yong Peng kira-kira pukul 2.30 pagi tadi. Saya kini berada di Desaru untuk menghadiri Majlis Perasmian Terminal Feri Desaru di Desaru Coast Ferry Terminal yang akan disempurnakan oleh DYMM Tuanku Sultan Johor pada pagi ini.

“Seawal pukul 6 pagi, saya menghubungi YB Ling Tian Soon, Exco Kerajaan Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng yang berada di tempat kejadian,” tulisnya dalam entri berkenaan.

Anggota bomba memadamkan kebakaran melibatkan 15 lot kedai yang musnah sehingga 95 peratus

Katanya, laporan awal mendapati 70 peratus daripada bangunan pasar musnah dan seramai 17 pemilik gerai terjejas.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan berlaku.

“Selaku Ahli Parlimen Ayer Hitam, saya telah memaklumkan kepada YB Ling Tian Soon untuk memberikan bantuan segera RM1,000 daripada saya

kepada setiap pemilik gerai di samping menunggu laporan lengkap dari pihak bomba dan polis.

“Kami berdua akan melakukan yang terbaik untuk membantu semua mangsa kebakaran. Saya bersama-sama dengan ADUN Yong Peng akan berbincang dengan pihak Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) serta mencari kaedah terbaik untuk membina semula pasar yang terbakar,” katanya. – SB