Kedai bakar itik punca kebakaran Pavilion

0
366

ASAP tebal yang menyelubungi sebuah restoran di tingkat satu, pusat beli-belah Pavilion mencetuskan suasana panik dalam kalangan pengunjung hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.12 petang.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu dengan bantuan BBP Jalan Tun Razak bersama beberapa jentera telah dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati asap tebal berpunca dari sebuah restoran di tingkat satu pusat beli-belah berkenaan,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, kebakaran berjaya dipadam selepas ‘sprinkler head’ pecah disebabkan bahang yang terhasil daripada kebakaran tersebut.

“Kita juga difahamkan, kebakaran mula tercetus di tempat pembakar daging itik di restoran berkenaan selepas dimaklumkan pemilik restoran tersebut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur,” jelasnya.

Bagaimanapun menurut pihak pengurusan Pavilion, tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan dan operasi perniagaan masih berjalan seperti biasa. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here