Will Smith kesal, malu dengan insiden tampar Chris Rock

0
473

WILL Smith mengakui kesal dengan insiden yang berlaku di pentas Anugerah Akademi (Oscar) Ke-94, dan memohon maaf secara terbuka kepada Chris Rock kerana menampar pelakon dan pelawak popular itu.

“Saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada Chris Rock. Saya berada di luar batasan dan saya salah.

“Saya malu dan tindakan saya tidak menunjukkan seorang lelaki yang ingin saya jadi,” katanya yang juga merangkul trofi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem King Richard pada acara berprestij itu, di Instagram miliknya, pada Selasa.

Pada Isnin, Will bertindak melulu apabila naik ke pentas dan menampar Rock selepas pelawak itu berjenaka mengenai keadaan kesihatan isterinya, Jada Pinkett yang mengalami masalah keguguran rambut kronik hingga kepalanya botak. 

Ujar Will, kelakuannya itu adalah sangat tidak wajar, namun berjenaka tentang keadaan kesihatan isterinya juga terlalu berat untuk ditanggungnya daripada segi emosi.

“Keganasan dalam semua bentuk keadaan adalah ‘beracun’ dan merosakkan. Tingkah laku saya pada majlis anugerah ini tidak boleh diterima dan tidak boleh dimaafkan.

“Lawak pada saya adalah sebahagian daripada kerja, tetapi gurauan mengenai keadaan kesihatan Jada terlalu berat untuk saya tanggung dan saya bertindak balas secara emosi,” kata Smith dalam permohonan maafnya.

Dalam pada itu menurutnya, dia berasa sangat malu dengan kelakuannya kerana apa yang dipaparkan bukanlah dirinya yang sebenar.

“Saya berasa malu dan kelakuan saya tidak melambangkan siapa saya sebagai seorang lelaki. Tiada tempat untuk keganasan dalam dunia yang dipenuhi dengan rasa cinta dan kebaikan,” katanya.

Difahamkan, pihak Academy akan mengambil tindakan sewajarnya ekoran apa yang berlaku dan Will Smith berkemungkinan kehilangan trofi Pelakon Lelaki Terbaik atas kelakuannya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here