Status vaksinasi individu belum ambil dos penggalak tidak dipadamkan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKKM) menafikan mesej palsu yang tular dalam media sosial mendakwa kononnya status vaksinasi individu yang masih belum mengambil dos penggalak COVID-19 dalam MySejahtera akan dipadamkan.

Dalam status Facebook pada Isnin, KKM memaklumkan bahawa status berkenaan hanya akan bertukar menjadi tidak lengkap.

MESEJ palsu yang ditularkan pihak tidak bertanggungjawab mengenai status vaksinasi di MySejahtera

“Untuk makluman, status vaksinasi COVID-19 kepada semua penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas yang masih belum menerima dos penggalak setelah layak dan penerima semua jenis vaksin dos primer berusia 60 tahun dan ke atas yang masih belum mendapatkan dos penggalak setelah layak hanya akan bertukar menjadi tidak lengkap dan BUKAN dihilangkan seperti yang dinyatakan dalam mesej tersebut,” kata kementerian itu.

Dalam mesej yang tular tersebut, orang ramai diminta menyimpan tangkap layar sijil vaksinasi masing-masing sebagai persediaan sekiranya maklumat tersebut dipadamkan. – SB