‘Kantoi’ sorok jeruk dalam longkang dekat loji kumbahan

0
221

SEKUMPULAN penjaja jeruk sanggup menyimpan dan menyorok produk berkenaan di dalam longkang dan berhampiran kawasan loji kumbahan bagi mengelak dikenakan tindakan pihak berkuasa.

Namun, cubaan mereka gagal apabila tindakan itu terbongkar ketika Ops Khas Penjaja Jalanan di sekitar kawasan Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor pada pukul 2.30 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Johor (KJSPT), Superintendan M. Kumarasan berkata, operasi itu susulan aduan yang diterima oleh masyarakat yang semakin berleluasa di sekitar kawasan Johor Bahru.

Menurutnya, operasi yang diketuai PT Penguatkuasa JSPT Johor, Asisten Superintendan Mohd. Zainudin Abu Bakar bersama lima anggota polis adalah operasi berkala yang dijalankan dalam menangani isu penjaja jalanan.

“Berdasarkan statistik dan data yang diperoleh, sebanyak 52 lokasi tumpuan penjaja jalanan di dalam negeri Johor dan tumpuan utama adalah di persimpangan lampu isyarat di laluan utama.

Perbuatan tersebut terbongkar apabila pihaknya mengadakan Ops Khas Penjaja Jalanan di sekitar kawasan Bandar Baru Uda, Johor Bahru, pada pukul 2.30 petang semalam

“Hasil operasi yang mendapati bungkusan makanan pencuci mulut itu disorok di lokasi yang tidak sepatutnya iaitu di dalam longkang dan berhampiran kawasan kumbahan bagi mengelak tindakan diambil oleh pihak penguatkuasa.

“Ia adalah sikap yang tidak bertanggungjawab dan memandang remeh berkaitan isu kebersihan makanan dan risiko penyakit bahaya disebarkan sekiranya ia tercemar.

“Sikap individu yang mencari jalan mudah dengan meraih simpati pengguna jalan raya dengan menggajikan pekerja asing bagi menjaja buah jeruk berkenaan tanpa mengira risiko dan bahaya kepada penjaja dan pengguna jalan raya yang lain terutama boleh mengundang kemalangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kumarasan berkata, aktiviti menjaja di jalan awam adalah kesalahan yang menyalahi peraturan dan undang-undang.

“Mana-mana individu yang menjalankan urusan jual beli di jalan awam iaitu menjual dan membeli boleh diambil tindakan mengikut kaedah 10A (1) & kaedah 10A (2) LN 166/59 dan boleh diambil tindakan denda tidak melebihi RM2,000 jika disabitkan kesalahan.

“Malah di bawah undang-undang kecil PBT, ia juga perbuatan melanggar peraturan dan boleh diambil tindakan kompaun dan sita semua barang-barang yang dijaja.

“Kami mengingatkan supaya aktiviti menjaja di jalan awam ini perlu dihentikan bagi memastikan tidak berlakunya perkara yang tidak diingini khususnya kemalangan maut dan secara tidak langsung mengganggu kelancaran aliran trafik di lampu isyarat.

“Selain itu, persepsi dan rasa simpati terhadap golongan ini perlu difikirkan kerana ada pihak lain yang tidak bertanggungjawab mengambil peluang dengan mengupah warga asing tanpa mempedulikan aspek kebersihan terhadap makanan bagi mengaut keuntungan dengan mudah dan cepat,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here