SETIAP parti berhak menentukan bentuk tindakan terhadap Ahli Parlimen masing-masing yang gagal hadir ketika sesi pengundian usul kerajaan bagi melanjutkan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sama ada Ahli Parlimen terbabit akan dikenakan tindakan atau tidak, ia bergantung kepada parti masing-masing untuk memberi amaran atau peringatan bersesuaian.
Semalam, Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, menyatakan anggota Kabinet yang tidak hadir ketika sesi terbabit perlu bertanggungjawab kerana menyebabkan usul penting seperti SOSMA gagal diluluskan, sama ada berhenti atau dipecat.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, setiap Ahli Parlimen tidak mempunyai alasan untuk tidak hadir ke Dewan Rakyat bagi mengambil bahagian dalam proses membuat undang-undang.
Katanya, menjadi satu kerugian jika sesuatu undang-undang tidak dapat dibuat disebabkan masalah ketidakhadiran.
“Kita rasa dukacita sekiranya satu rang undang-undang (RUU) kerajaan tidak diluluskan kerana ketidakhadiran sebahagian Ahli Parlimen yang juga penyokong kerajaan itu sendiri,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Program Keluarga Kota Bharu di Maahad Muhammadi Lelaki di Kelantan, hari ini.
Dewan Rakyat, pada Rabu lalu, gagal meluluskan usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA untuk tempoh lima tahun lagi, selepas keputusan undian belah bahagi, menunjukkan hanya 85 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 lagi menolak, selain 50 lagi tidak hadir.
Kegagalan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.
Dalam perkembangan berkaitan pembentangan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti Lompat Parti, Takiyuddin berkata, banyak perkara perlu diteliti sebelum dibentangkan bagi mengelakkan kekeliruan.
“Kalau tahun 1990-an dulu Kelantan adalah negeri pertama membuat pindaan kepada Perlembagaan negeri berkaitan antilompat parti kerana pernah ada kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti dianggap melanggar undang-undang dan perlu mengosongkan kerusi.
“Namun mahkamah (Persekutuan) mengatakan bahawa undang-undang seumpama itu bercanggah dengan Perlembagaan kerana melanggar peruntukan berkaitan kebebasan untuk berpersatuan.
“Jadi atas dasar itu, Perlembagaan perlu dipinda dahulu sebelum mana-mana negeri membuat undang-undang berkaitan dengan RUU lompat parti ini, tetapi saya percaya Menteri Undang-undang dalam proses membawa pindaan ini,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.