Guru rugi hampir RM10,000 digertak terbabit penggubahan wang haram

0
403

SEORANG guru kerugian RM9,900 selepas didakwa terbabit dalam kegiatan penggubahan wang haram, apabila menyerahkan nama dan kata laluan perbankan Internet miliknya kepada pihak ketiga di Sabah.

Kejadian berlaku pada 1 Mac lalu apabila lelaki berusia 52 tahun itu yang berada di tempat kerjanya di Pitas dekat Kota Marudu, Sabah menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwanya daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Lelaki itu memaklumkan bahawa mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, mangsa kemudiannya diminta menghubungi satu lagi nombor telefon yang kemudiannya mengaku sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Menurutnya, individu yang mendakwa kononnya pegawai polis itu memaklumkan nama mangsa terbabit dalam satu kegiatan penggubahan wang haram.

“Mangsa kemudiannya diminta untuk memberikan maklumat akaun peribadi miliknya.

“Oleh kerana berasa takut dan panik, mangsa mengikut arahan yang diberikan sehingga mangsa memberikan maklumat nama serta kata laluan akaun bank miliknya,” katanya memetik laporan Harian Metro, ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pada 21 Mac lalu mangsa membuat semakan dalam talian akaun miliknya dan mendapati terdapat transaksi dilakukan daripada akaunnya kepada akaun milik individu yang tidak dikenali.

“Menyedari ditipu, mangsa tampil buat laporan polis di atas kehilangan wang dalam akaun miliknya pada 22 Mac lalu.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here