RANG Undang-Undang Anti Lompat Parti dijangka dibentang pada Sidang Khas Parlimen bulan depan, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata perkara itu antara komitmen yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada pertemuan hari ini.
Pertemuan itu turut disertai pemimpin Pakatan Harapan (PH) iaitu Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Sekiranya mengikut jadual yang telah dipersetujui, sepatutnya dibentang dan dibahas hari ini untuk bacaan kedua, tetapi oleh kerana ada beberapa isu teknikal yang belum selesai, dia tak jadi hari ini.
“Kita telahpun dapatkan kepastian daripada Perdana Menteri berkenaan dengan status pembentangan rang undang-undang ini, dan beliau telahpun memberikan komitmen untuk memanggil Sidang Khas Parlimen pada bulan Ramadan nanti, sebelum Aidilfitri,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, sebelum ini dilaporkan berkata rang undang-undang bagi Anti Lompat Parti itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat hanya selepas pandangan serta input semua pihak terlibat diperoleh, dan semua sesi libat urus tamat.
Loke berkata gabungan itu turut mengulangi pendirian untuk mengekalkan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH, selagi rang undang-undang itu dibawa untuk dibahas dan diluluskan.
MoU yang ditanda tangan pada September tahun lepas oleh Ismail Sabri dan pemimpin-pemimpin parti dalam gabungan PH sepakat bahawa, Parlimen tidak akan dibubarkan setidak-tidaknya sebelum 21 Julai ini.-BERNAMA
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.