Negara rekod trend penurunan kes Covid- 19 – KP Kesihatan

0
347

KES positif harian COVID-19 negara terus mencatatkan trend penurunan apabila 17,828 kes direkodkan semalam berbanding 19,105 kes pada 20 Mac, menjadikan 4,010,952 kes kumulatif.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 17,828 kes positif COVID-19 yang dicatatkan semalam, sebanyak 9,121 kes atau 51.16 peratus melibatkan kategori satu manakala 8,551 kes atau 47.96 peratus membabitkan kategori dua.

“Sebanyak 55 kes (0.31 peratus) berada dalam kategori tiga; 48 kes (0.27 peratus) dalam kategori empat dan 53 kes (0.30 peratus) dalam kategori lima,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau menjelaskan daripada 156 kes COVID-19 yang melibatkan kategori tiga, empat dan lima, 33 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 64 kes pula telah menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak dan 59 kes telah menerima dos penggalak.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata 28,003 kes sembuh dilaporkan semalam, menjadikan kes sembuh kumulatif sebanyak 3,712,668.

Beliau berkata sebanyak 358 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 199 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Menurut Dr Noor Hisham, lima negeri menunjukkan peratusan pengisian katil kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) lebih 50 peratus iaitu Kuala Lumpur (63 peratus), Kelantan (58 peratus), Johor (57 peratus), Selangor (57 peratus) dan Perak (51 peratus).

Mengenai nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 negara, beliau berkata ia masih kekal 0.92 dengan Sarawak mencatatkan Rt tertinggi iaitu 1.03 diikuti Perak dengan 1.01.

Beliau juga memaklumkan negara merekodkan dua kluster baharu menjadikan 6,914 kluster secara keseluruhan dengan 292 kluster aktif.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here