PROFESOR Dr Massila Kamalrudin dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu selama tiga tahun berkuat kuasa hari ini.
UTeM dalam satu kenyataan di sini memaklumkan pelantikan Massila sebagai Naib Canselor kelima UTeM bagi menggantikan Prof Datuk Dr Raha Abdul Rahim yang telah tamat tempoh lantikannya.
UTeM berkata Massila adalah wanita kedua menerajui kepimpinan UTeM dan dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan beliau memulakan kerjayanya di UTeM pada 2004 sebagai tutor di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).
“Beliau pernah menjawat beberapa jawatan pentadbiran antaranya sebagai Penyelaras dan Pengurus Centre of Excellence (CoE) UTeM (Mei 2014 hingga Mei 2017) dan Timbalan Dekan Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (Jun 2017 hingga September 2020).
“Massila mempunyai aspirasi dan strategi yang jelas untuk menyuntik perubahan positif dalam landskap pentadbiran dan pengurusan UTeM serta memperkukuhkan aspek pembangunan institusi dan akademik UTeM sebagai sebuah universiti teknikal yang disegani dan terus dikagumi,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Massila dilahirkan pada 14 Ogos 1981 dan berasal dari Banda Hilir di sini, mempunyai latar belakang pendidikan yang cemerlang dengan memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2003.
Massila turut berjaya memperolehi Ijazah Sarjana dalam bidang Teknologi Perisian dari University of Wales Swansea, United Kingdom dan seterusnya memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pada 2011 dari The University of Auckland, New Zealand.
“Beliau telah terlibat aktif dalam bidang penyelidikan dan inovasi, penulisan jurnal, pelbagai konferens dan seminar serta aktiviti konsultansi bagi beberapa agensi kerajaan dan syarikat yang memberikan impak tinggi kepada negara dan dunia.
“Susulan daripada sumbangan kepada universiti dan negara, maka beliau telah menerima banyak anugerah dan pengiktirafan peringkat nasional dan global antaranya Malaysian Young Women Scientist 2020 oleh Malaysian Invention and Design Society (MINDS),” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, UTeM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Prof Raha atas khidmat bakti dan kepimpinan beliau sepanjang memegang jawatan sebagai Naib Canselor UTeM sebelum ini.
— BERNAMA
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.