GARA-gara seekor lembu yang tiba-tiba muncul dari sebelah kanan, dua pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) cedera ringan selepas tidak sempat mengelak dan melanggar haiwan berkenaan dalam kejadian di Kilometer 249.7 Lebuh Raya Utara- Selatan arah Utara di sini, awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, ketika kejadian itu berlaku, kedua-dua pegawai tentera berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kulai, Johor ke Kem TLDM di Lumut, Perak.
Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kemalangan itu berlaku semasa kenderaan mereka berada di lorong kanan sebelum terlanggar seekor lembu di laluan sama sehingga kenderaan jenis Ford Ranger itu berpusing dan berhenti di lorong kiri.
“Pemandu kenderaan seorang lelaki iaitu pegawai TLDM berpangkat Leftenan Komander berusia 39 tahun dan penumpangnya berpangkat Komander TLDM, 42, dilaporkan cedera ringan akibat kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Nanda berkata, ketika kejadian bentuk permukaan jalan adalah lurus, cuaca dalam keadaan baik namun jalan gelap kerana tiada lampu jalan.
Terdahulu, video kemalangan berdurasi 26 saat tular di Facebook yang memaparkan rakaman pemandu sedang berbual sebelum terlanggar seekor lembu kerana tidak sempat mengelak.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.