Enggan hadir tangan kosong, sahabat hadiahkan kambing jantan kepada pengantin

TINDAKAN lucu seorang lelaki menghadiahkan seekor kambing sempena hari perkahwinan sahabatnya mencuit hati warga maya apabila video itu tular di platform TikTok sejak Sabtu.

Mengulas idea yang dia dianggap pelik itu, Ahmad Zikri Mohamad Zuki, 30, berkata, pada awalnya dia buntu memikirkan hadiah yang ingin diberikan kepada sahabat baiknya, Muhammad Aiman Izham, 30.

Disebabkan enggan hadir ke majlis itu dengan tangan kosong, Zikri nekad untuk membawa seekor kambing jantan berumur dua tahun bersamanya untuk dihadiahkan kepada pasangan mempelai itu.

“Lagipun, dulu saya ada pelihara kambing dan rakan saya itu yang tolong buat kandangnya.

“Mengenangkan pertolongannya dan persahabatan kami, saya hadiahkan kambing,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Zikri turut mengakui dia pernah memberitahu sahabatnya mengenai hasratnya itu, namun mungkin dianggap sebagai satu gurauan sehingga pengantin terkejut melihat dia membawa seekor kambing bersama ketika hadir di majlis perkahwinan.

“Tak sangka pula kisah itu tular kerana selain sedekah, niat saya adalah untuk beri pahala kepada bapa saya dan ibu bapa, rakan yang sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Aiman yang terkejut dengan gelagat sahabatnya baiknya berkata, dia sebelum itu menyangka Zikri ingin menghadiahkan seekor kambing yang sudah disembelih.

“Buat masa ini, kambing itu ada di rumah ayah angkat saya dan perancangannya adalah untuk korbankan kambing itu untuk kenduri arwah ibu bapa kandung saya dan bapa Ahmad Zikri,” katanya.