Setelah 17 tahun, ‘kita enjoy’ kembali  

0
541

SELEPAS 17 tahun, sitkom Puteri yang pernah mencetuskan fenomena ketika itu bakal menemui penonton sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Puteri yang mempopularkan nama Nora Danish dengan tagline ‘kita enjoy’ itu dibikin semula dengan menggabungkan semula Kencana Dewi, Beego, Intan Ladyana dan Siti Fazurina.

Menggunakan istilah come back, mereka menggunakan judul Puteri Reunion dengan empat episod sahaja untuk mengubat kerinduan peminat.

Bagi Nora, pastinya dia gembira apabila naskhah yang mempopularkan namanya itu bakal diterbitkan semula.

“Memang saya tak sangka sitkom ini akan dihidupkan semula selepas 17 tahun. Saya ingat ia akan berkubur begitu sahaja.

“Dari dulu lagi saya selalu berharap ia akan diterbitkan semula dan kami semua dapat berkumpul kembali. Akhirnya impian tersebut terlaksana dengan naskhah Puteri Reunion,” kata Nora.

Sitkom Puteri merupakan terbitan Ace Montion Pictures Sdn Bhd, milik Aziz M Osman. Namun kali ini, bertukar tangan kepada Padi Pictures Sdn Bhd, yang juga merupakan milik Nur Aliah Lee.

Jelas Nora lagi, dia tidak menafikan yang Puteri memang memberikan gemerlapan kepada kerjaya seninya sehingga ada yang memanggilnya dengan panggilan tersebut.

Tambahnya, paling menggembirakan apabila mahu bertemu semula dan duduk bersama-sama dengan semua rakan-rakan lama yang terlibat dalam produksi tersebut.

“Memang saya teruja dapat bertemu semula dengan kawan-kawan lama. Semuanya sudah berkahwin dan mempunyai anak.

“Dulu waktu kami berlakon, semuanya masih bujang. Semoga drama ini akan mengubah rindu peminat terhadap Puteri,” kata ibu kepada dua orang cahaya mata ini lagi.

Untuk rekod, sitkom Puteri disiarkan pada tahun 2005 selama 10 musim dan mencatatkan jumlah episod sebanyak 130. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here