Pemandu Honda Civic guna laluan motosikal ditahan

0
291

SEORANG lelaki yang memandu keretanya di laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan, berhampiran Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur, ditahan pihak polis.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner, Sarifudin Mohd Salleh, pihaknya mengesan video berdurasi 30 saat mengenai kejadian berkenaan yang tular di Facebook pada Jumaat.

Sarifudin berkata, hasil siasatan mendapati pemandu kereta jenis Honda Civic berwarna putih itu merupakan lelaki berusia 30 tahun.

“Bertindak atas aduan itu, kami mengesan pemandu kereta berkenaan dan membuat tangkapan terhadap lelaki berusia 30 tahun terbabit ketika dia hadir di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada pukul 6.30 petang, semalam.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Tambah Sarifudin, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik (JSPT) Jalan Tun H S Lee di talian 03- 20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here