SERAMAI 25 individu warga tempatan dikenakan kompaun sebanyak RM25,000 kerana disyaki tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4, di Lorong Haji Taib Dua, Chow Kit, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata mereka dikompaun RM1,000 setiap seorang setelah pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah pusat hiburan yang beroperasi tidak mematuhi SOP PPN Fasa 4 pada kira-kira 1 pagi itu.
Beliau berkata dalam pemeriksaan itu, terdapat seramai 27 orang berusia lingkungan 35 hingga 41 tahun terdiri daripada 15 lelaki dan 10 wanita tempatan serta seorang lelaki dan wanita warga asing telah ditahan.
“Selain 25 individu itu, turut ditahan dua warga asing yang disiasat di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) PPN 2021 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, polis menahan tiga individu iaitu seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan di sebuah pusat hiburan di sekitar Cheras, di sini, pada kira-kira 11.45 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata mereka ditahan kerana disyaki menjalankan kegiatan pusat hiburan tanpa lesen, menggajikan pekerja asing tanpa permit, menjual minuman keras tanpa lesen serta tiada dokumen perjalanan diri yang sah.
Turut dirampas adalah beberapa barangan bagi tujuan siasatan termasuklah beberapa botol minuman keras pelbagai jenama.
“Pasukan serbuan turut mengeluarkan kompaun atas kesalahan pelanggaran SOP ke atas 146 individu yang merupakan pekerja serta pelanggan di pusat hiburan tersebut dan nilai kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak RM146,000,” katanya.
Beliau juga menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/585 atau balai polis berdekatan. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.