Bersatu Bintulu hulur bantuan keluarga mangsa dibaham buaya

KEJADIAN ngeri seorang wanita dibaham buaya ketika memancing di Sungai Telong, Suai, Sarawak, mendapat perhatian Ketua Bahagian Bersatu Bintulu, Duke Janteng yang mengadakan tinjauan di lokasi kejadian, pada Khamis.

Menerusi satu perkongsian di Facebook, Duke Janteng yang juga merupakan Pengerusi Kelab Kebajikan Komuniti Bintulu (KKKB) menghulurkan bantuan kepada waris mangsa bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), selain menasihatkan pemancing agar sentiasa berhati-hati.

ANGGOTA bomba mengangkat mayat wanita yang mati dibaham buaya di Sungai Telong Suai, Batu Niah, Miri.

Mayat mangsa baham buaya, Demit Chagai, 43 dijumpai pasukan SAR dalam keadaan tangan kanan putus pada jarak 300 meter ke hulu Sungai Telong dari lokasi dia kali terakhir dilihat.

Dalam kejadian jam 12.10 tengah hari pada Rabu, mangsa dikatakan sedang memancing bersama ibu dan ibu saudaranya sebelum reptilia ganas itu muncul secara tiba-tiba dari dalam air dan menyambar tubuh serta mengheretnya ke dasar sungai. – SB