Buat pemilihan UMNO sebelum PRU-15, ada berani?

0
423

KETIKA ini UMNO dalam keadaan cacamarba dan bercelaru. Terlalu banyak puak dalam parti itu sehingga menyebabkan akar umbi keliru mana satu yang mereka perlu ikut.

Ada team Zahid, team Tok Mat, team Bossku Najib Razak, team Pak Long Mail dan tidak kurang juga team H20.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempunyai pengaruh sebagai Presiden dan begitu juga dengan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Walaupun hanya memegang jawatan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memiliki kekuatan selaku Perdana Menteri yang mengepalai jentera pentadbiran kerajaan.

Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula tidak menyandang sebarang jawatan dalam Majlis Tertinggi UMNO.

Kedua-duanya tidak bertanding untuk sebarang jawatan dalam pemilihan parti yang lalu.

Namun, mereka ada pengikut setia yang bersedia untuk digerakkan bila-bila masa jika diperlukan.

Situasi berpuak-puak ini menunjukkan pengaruh Ahmad Zahid selaku pemimpin nombor satu UMNO adalah lemah. Beliau gagal memastikan hanya satu team yang wujud dalam parti itu.

Sehubungan itu, memang amat wajar UMNO mengadakan pemilihan segera sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memperbetulkan keadaan dan menyatupadukan ahli-ahli parti di bawah satu pasukan.

Tetapi Wak Jahid memang pandai bermain taichi. Nampaknya Ahmad Zahid mahu UMNO bertanding pada PRU-15 dengan beliau masih bergelar Presidennya.

Maka, dijajanya alasan sebanyak 186 bahagian UMNO yang telah mengadakan mesyuarat bersetuju agar pemilihan parti diadakan selepas PRU-15. Cuma empat bahagian yang mengambil pendirian berbeza.

“Ini bukan keputusan saya. Ini keputusan saudara-saudari sewaktu Mesyuarat Perwakilan di Bahagian masing-masing. Sudah menjadi kelaziman sebelum ini bahawa pemilihan parti diadakan selepas PRU. Bertahun-tahun ia diamalkan.

“Adakah wajar kita mengubah tradisi ini? Janganlah kita memakai kasut sebelum menyarung stokin!” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Tidak dapat dipastikan sama ada majoriti cawangan UMNO dan akar umbi juga berpendirian serupa. Ada ahli-ahli UMNO secara terang-terangan bersuara dalam media sosial mahu parti dibebaskan daripada cengkaman kluster mahkamah sebelum PRU-15.

Pucuk pimpinan UMNO sepatutnya menyantuni pandangan ahli-ahli biasa dan bukannya percaya bulat-bulat para ‘warlord’ yang hanya tahu membodek untuk menyelamatkan punggung sendiri.

Jika tidak, kekecewaan akar umbi akan dilampiaskan pada PRU-15 dan tidak mustahil mereka enggan mengundi kerana kecewa dengan sikap pucuk pimpinan parti itu yang masih angkuh dan sombong selepas ‘diajar’ oleh rakyat pada PRU-14.

Oleh HASSAN SULAIMAN
Penganalisis Politik

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita.

Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here