Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Tiga kakitangan APM tidak mengaku salah minta rasuah -

Tiga kakitangan APM tidak mengaku salah minta rasuah

TIGA kakitangan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuantan, hari ini, atas tuduhan meminta suapan berkaitan perbekalan peralatan pejabat, tahun lepas.

Pengakuan Mustapa Hashim, 58, Mohd Nazrin Mohd Nasir, 38, dan Salina Kamarulzaman, 41, direkodkan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mereka didakwa bersama-sama meminta wang RM18,000 atau 10 peratus daripada jumlah nilai projek daripada Rajman Hashim, 49, pada antara 5 hingga 6 petang, 7 Okt 2021 di Food Bazzar & Best Bro, Genting Permai Avenue di Bentong.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk mereka membantu Syarikat Pendang Jaya Sdn Bhd bagi mendapatkan projek membekal, menghantar dan memasang peralatan pejabat di Akademik Latihan Pertahanan Awam Malaysia di Kajang, Selangor.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap semua tertuduh, selain memaklumkan Mohd Nazrin dan Salina telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada minggu lepas atas kesalahan sama.

Peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar yang mewakili Mustapa dan Salina, merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan atas alasan kewangan kerana kedua-duanya sudah berkahwin, selain Salina kini hanya menerima separuh gaji selepas ditahan kerja.

Mohd Nazrin pula yang tidak diwakili peguam merayu jumlah rendah diberikan kerana selaku anak sulung, dia menanggung ibu bapa yang merupakan pesakit angin ahmar selain dirinya menghidap penyakit tiga serangkai, serta menjalani rawatan kaunselor bagi keresahan.

Ahmad Zamzani membenarkan Mustapa dibebaskan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa ke mahkamah, serta melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan, manakala jaminan terhadap Mohd Nazrin dan Salina ditetapkan pada RM5,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan menetapkan sebutan semula pada 11 April ini.- BERNAMA