
PENGUNDI di Johor perlu memikirkan dengan baik mengenai penubuhan sebuah kerajaan negeri yang baik dan berintegriti sebelum mereka memangkah kertas undi pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan.
Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, pilihan raya bukan perkara kecil kerana ia bakal menentukan kerajaan yang bagaimana bakal berkuasa dan menentukan masa depan rakyat.
Presiden Bersatu itu menjelaskan, perkara ini penting kerana undi yang dibuang itu akan menentukan sama ada Johor akan ditadbir oleh kerajaan yang berintegriti, prihatin, cekap dan amanah.
“Siapa yang mendapat undi yang banyak akan menjadi kerajaan, tetapi itu bukan soalnya.
“Soalnya ialah kita mahukan kerajaan yang baik, kerajaan yang dapat mengurus nasin rakyat dan berintegriti,” beliau mengingatkan hadirin ketika berucap pada program Ceramah Umum PN di Pusat Gerakan PN di Padang Endau, Endau pada malam Khamis.
Acara tersebut turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dan calon PN bagi DUN Endau, Alawiyah Talib.
Jelas bekas Perdana Menteri itu, yang perlu dibina ialah sebuah kerajaan yang baik dengan pemimpin yang baik amanah dan bertanggungjawab supaya rakyat yang susah dapat dibantu.
“Kerajaan itu akan dapat membela nasib rakyat memberi pekerjaan dan bantuan-bantuan yang lain seperti yang saya cuba lakukan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik Covid-19.
“Jadi bila berbicara mengenai soal kepimpinan dan kerajaan, yang saudara (para pengundi) kena tentukan ialah bagaimana untuk memilih kerajaan yang baik,” jelas beliau.
Menurut beliau, Johor memerlukan sebuah kerajaan dan pimpinan yang baik maka dengan itu rakyatnya perlu membina sebuah kerajaan yang tidak terpalit dengan sebarang masalah integriti dan salah laku. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.