Janji wujudkan lebih banyak peluang kerja jika PN menang

SEMASA Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, kerajaan Persekutuan telah berusaha mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan menerusi Majlis Pekerjaan Negara (MPN) ketika negara menghadapi keadaan ekonomi yang getir berikutan pandemik Covid-19.

Susulan itu ditubuhkan Majlis Pekerjaan (Negara) yang dipengerusikan Muhyiddin sendiri, bertujuan menentukan ekonomi negara dapat terus lebih tersusun dan cari jalan bantu rakyat, yang sebahagian besar hilang pekerjaan dan tiada pendapatan.

Bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Perikatan Nasional (PN) akan berusaha meneruskan rancangan sama dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta pembangunan masyarakat.

Inilah yang dijanjikan oleh calon PN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri(DUN) Pemanis, Uzzair Ismail sekiranya diberi mandat.

Uzzair berkata, perkara tersebut merupakan antara fokus utama dalam memastikan supaya masa depan masyarakat Johor terbela.

“Saya yakin di bawah kepimpinan Muhyiddin, kita boleh mewujudkan peluang pekerjaan daripada pelbagai industri seperti pertanian, makanan dan sebagainya,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Uzzair berkata, hala tuju golongan generasi muda Johor juga perlu diperkasa melalui pembangunan pendidikan ke arah vokasional.