Anak Mamat Khalid gembira Kampong Pisang Berbuah Dua Kali dapat sambutan 

0
753

TIADA apa lagi yang mampu diucapkan selain bersyukur dengan rezeki yang diterima dan sambutan hangat yang berikan penonton terhadap karya ini.

Bagi anak kepada Allahyarham Mamat Khalid, dia bersyukur kerana filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali mendapat kutipan RM1 juta selepas enam hari ditayangkan.

“Alhamdulillah filem ini mendapat respon baik daripada penonton. Saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada peminat setia karya arwah papa, peminat Kampong Pisang serta semua penonton yang telah menonton.

“Saya anggap kejayaan ini adalah sokongan untuk meneruskan legasi ini. Insya-Allah, Kampong Pisang Universe tidak akan terhenti akan terus ada buat peminat dan penggemar filem tempatan,” kata Amen Khalid.

Terdahulu, ada yang tertanya-tanya adakah sentuhan Amen bakal diterima baik sama seperti karya arwah Mamat.

Setidaknya, dengan kejayaan manis yang dilakar kali ini membuktikan yang penonton masih menggemari siri Kampong Pisang berdasarkan kutipan yang diperoleh.

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad turut optimis terhadap filem berkenaan yang sesuai ditonton seisi keluarga.

“Melihat penerimaan penonton terhadap filem ini, rata-ratanya terhibur dengan babak-babak komedi yang dipersembahkan. Kami yakin filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali amat sesuai ditonton seisi keluarga.

“Kepada mereka yang belum menonton, jangan lepaskan peluang untuk berhibur di samping meluangkan masa bersama insan tersayang di rumah dengan menonton filem ini.

“Kami juga ingin mengucapkan syabas kepada Amen Khalid yang telah menambat hati penonton melalui sentuhannya,” katanya.

Filem terbitan Astro Shaw dan kerjasama produksi Enjit-Enjit Semut ini dibintangi oleh beberapa nama besar termasuklah Kazar Saisi, Aziz M Osman, Mat London dan Bell Ngasri.


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here