Demi anaknya, henti aibkan ‘Kak Long 7e’ – Aaron Aziz 

MELIHATKAN satu persatu video ‘aib’ diulang go siar oleh kebanyakan netizen, pelakon Aaron Aziz menyeru agar orang ramai menghentikan segera perbuatan tersebut.

Dia yang ‘sakit mata’ melihat video amukan Kak Long 7E diulang siar oleh netizen menganggap tidak wajar untuk mereka terus mengaibkan wanita tersebut terutama menyentuh soal maruah.

“Di sini, saya minta jasa baik netizen semua untuk berhentilah memuat naik semula (repost) mengenai Kak Long 7E. Dia pun dah minta maaf dan pasti menyesal.

“Kasihan anaknya, nanti nak pergi sekolah malu diejek atau apa. Kita doakan yang baik-baik saja. Cerita dah habis, jadi biarlah mereka sekeluarga tenang. Saya pasti dia sudah belajar dan menerima pengajarannya,” tulisnya.

Seperti mana yang diketahui ramai, baru-baru ini tular video melibatkan dua beranak yang menimbulkan kekecohan di sebuah kedai serbaneka.

Video tersebut mengundang pelbagai reaksi dengan rata-rata netizen mengecam tindakan Wan Nor Baizura dan anaknya, Muhammad Adam Aqish Mikhail, 8,  yang dianggap biadab serta keterlaluan.

Bagi pelakon ini, semuanya sudah berakhir apabila wanita tersebut sudah meminta maaf dan mengakui kesilapannya.

“Tiada yang sempurna. Semua orang ada sikap buruk. Maafkanlah. Itu lagi mulia daripada nak memburuk-burukkan,” tulisnya.

Perkongsian yang dibuat oleh Aaron itu turut mendapat maklum balas positif daripada peminat. Ada yang mahu netizen ‘move on’ daripada terus memanjangkan sengketa. – SB