DEBARAN kemuncak acara Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) berakhir apabila lagu Pelukan Angkasa dinobatkan sebagai Juara Lagu kali ini.
Lagu yang menggabungkan kumpulan SOG dan Shila Amzah itu berjaya mengenepikan 11 lagu besar yang lain seterusnya membawa pulang RM100,000 dan trofi.
Pelukan Angkasa merupakan lagu ciptaan Raja Nazrin Shah selaku komposer dan Fazleena Hishamuddin bertindak selaku penulis lirik.
Berada di kedudukan naib juara pula adalah lagu ciptaan Hang Nadim dan Bunga Cantik iaitu Cinta yang dinyanyikan Marsha Milan manakala tempat ketiga pula menjadi milik lagu Mimpi nyanyian Haqiem Rusli.
Untuk pemenang naib juara membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi dan tempat ketiga pula meraih hadiah wang tunai RM30,000 berserta trofi.
Untuk kategori Vokal Terbaik pula menjadi milik Aina Abdul menerusi lagu Sepi, manakala Persembahan Terbaik dimenangi oleh Marsha Milan menerusi lagu Cinta.
Tahun ini kategori Penyanyi Pilihan Popular AJL36 diperkenalkan dan menjadi milik Khai Bahar dan Aina Abdul yang bertanding menerusi lagu Nafas Cinta.
Setiap lagu yang dipertandingkan di pentas akhir AJL36 dinilai oleh sepuluh juri profesional tanah air yang diketuai oleh Datuk Mokhzani Ismail.
Selain itu, turut berada di kerusi juri adalah LY, Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Acis, Mike Chan, Helen Yap, Altimet, Edrie Hashim, Faizal Tahir dan Datuk Habsah Hassan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.