POLIS Pulau Pinang menahan empat lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 31 tahun yang dipercayai anggota sindiket yang aktif mengedar dadah jenis syabu dan heroin di negeri itu.
Kesemua mereka ditahan dalam enam serbuan berasingan di sekitar daerah Timur Laut, Georgetown sewaktu operasi yang bermula pukul 12 tengah hari sehingga lewat malam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, turut dirampas dalam serbuan itu adalah dadah jenis heroin serta syabu yang keseluruhannya seberat 4.2 kilogram (kg) dan bernilai RM79,116.
Menurut beliau, dadah itu dipercayai diperoleh sindiket berkenaan daripada pihak lain sebelum dibungkus semula oleh kesemua suspek ya dan mengedarkannya semula kepada pembeli.
“Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak 2013 selain pernah ditahan beberapa kali sebelum ini.
“Selain rampasan dadah, kita turut menyita empat buah kenderaan dan pelbagai barang kemas daripada suspek yang kesemuanya bernilai RM65,445,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Timur Laut hari ini.
Menurut Soffian, ujian air kencing mendapati tiga suspek yang ditahan turut positif dadah selain mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.
Katanya, kesemua suspek kini direman sehingga 9 Mac dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.