Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Siapa sebenarnya khianati pengundi dan PH? -

Siapa sebenarnya khianati pengundi dan PH?

Oleh SALADIN HASAN SALLEH

TUN Dr Mahathir Mohamad dalam surat terbuka kepada pengundi Johor, hari ini, mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membelakangkan pengundi dan Pakatan Harapan (PH) untuk mencapai cita-citanya.

Hakikatnya, hayat kerajaan PH ditamatkan oleh tindakan Dr Mahathir sendiri yang meletakkan jawatan secara tiba-tiba pada 24 Februari 2020.

Tiada mana-mana pihak termasuk Muhyiddin yang memberi tekanan supaya Dr Mahathir meletak jawatan, sebaliknya ia dilakukan atas kehendaknya sendiri.

Malah, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pernah bertitah bahawa Baginda telah meminta Dr Mahathir tidak melepaskan jawatan tersebut, namun beliau kekal dengan pendiriannya.

Sedangkan dari peringkat awal kemelut lagi, Muhyiddin dan semua Ahli Dewan Rakyat daripada BERSATU telah memberikan sokongan padu kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Tetapi malangnya Dr Mahathir gagal mendapatkan sokongan majoriti daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain.

Perkara ini dijelaskan dalam kenyataan Istana Negara pada 28 Februari 2020. Oleh yang demikian, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah mengambil keputusan bijaksana dengan menjemput ketua-ketua parti mengemukakan seorang calon lain yang berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Ketika itulah nama Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri dikemukakan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat daripada BERSATU dan ketua-ketua parti yang lain.

Pada masa ini, Muhyiddin hanya ada dua pilihan iaitu kekal menyokong Dr Mahathir yang sudah tidak cukup sokongan atau menerima pencalonan itu bagi mengelakkan kemelut berpanjangan.

Ini menjukkan Muhyiddin ‘membelakangkan’ Dr Mahathir hanya apabila Perdana Menteri dua kali itu tidak mempunyai sokongan mencukupi untuk menubuhkan semula kerajaan selepas meletak jawatannya.

Namun, atas rasa hormat, Muhyiddin bertemu Dr Mahathir untuk meminta sokongannya. Dalam pertemuan disaksikan dua orang tokoh parti, Dr Mahathir menyatakan bersedia memberi laluan sekiranya Muhyiddin mendapat sokongan majoriti.

Perkara itu disahkan oleh Dr Mahathir sendiri dalam sidang akhbar pada 27 Februari 2020 sewaktu menjawab soalan apakah yang bakal dibincangkan dalam mesyuarat khas semua Ahli Dewan Rakyat BERSATU, keesokannya.

“Ada beberapa kemungkinan yang kami bincangkan, termasuk kemungkinan Muhyiddin akan menjadi calon. Jika semua orang memilih beliau, saya ok.

“Ya, sebagai Perdana Menteri. Jika beliau menang, beliau pergi ke Parlimen dan beliau diberikan majoriti penuh maka beliau berhak untuk menjadi Perdana Menteri dan Agong boleh melantik beliau.

“Beliau boleh mengangkat sumpah dan beliau boleh membentuk Kabinet beliau… Siapa sahaja yang menang saya akan terima lantikan sebagai Perdana Menteri,” jelas Dr Mahathir.

Berikutan sokongan Dr Mahathir, Muhyiddin bersetuju menerima pencalonan sebagai Perdana Menteri yang dibuat mesyuarat khas itu pada pagi 28 Februari 2020.

Bagaimanapun, pada pagi 29 Februari 2020, Dr Mahathir secara tiba-tiba membuat kenyataan yang berbeza nadanya:

“Pagi ini saya telah bermesyuarat dengan para pemimpin Pakatan Harapan. Saya sekarang yakin bahawa saya mempunyai nombor yang mencukupi untuk mendapat sokongan majoriti di dalam Dewan Rakyat. Oleh itu saya bersedia untuk menjadi calon Perdana Menteri,”.

Apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah dan Dr Mahathir sehingga kini tetap menuding jari menyalahkan orang lain atas tindakannya menguburkan kerajaan PH melalui peletakan jawatan Perdana Menteri, hanya selepas 22 bulan diberi amanah oleh rakyat.